Yang Dipertuanya, Datuk Aliff Tafid berkata, syarikat akhbar yang banyak berjasa itu tidak sepatutnya dibiarkan berkubur kerana kelahirannya pada 29 Mei 1939 merupakan kejayaan awal kaum Melayu dalam bidang media cetak.

Beliau berkata, akhbar Utusan Malaysia juga mempunyai banyak jasa yang tidak terbalas kerana turut memainkan peranan penting mendokong perjuangan menuntut kemerdekaan Tanah Melayu suatu ketika dahulu.

"PJK membantah hasrat pengurusan syarikat akhbar itu yang mahu menghentikan operasi penerbitannya walaupun kita memahami syarikat itu sedang bergelut dan tidak lagi mampu menanggung kos pencetakan dan pembayaran gaji kakitangannya.

"Akhbar ini banyak jasa kepada negara dan ketika negara bakal menyambut Hari Kebangsaan ke-62 tidak lama lagi, kita sedih dengan laporan kerugian yang dialami Kumpulan Utusan sehingga mahu menutup operasinya," katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Sebelum ini, Pertubuhan Suara Anak Kelantan Darul Naim (Suara Kelantan) turut menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) mencari jalan menyelamatkan Utusan Melayu daripada terkubur begitu sahaja.

Presidennya, Che Isham Shahrudin Che Hamad Nordin berkata, pihaknya menyifatkan satu kehilangan besar buat negara sekiranya penutupan operasi dua akhbar syarikat berkenaan iaitu Utusan Malaysia dan Kosmo! menjadi kenyataan.

Mengulas lanjut, Aliff berkata, negara semakin alpa kepada peranan yang dimainkan akhbar Utusan Melayu yang dahulunya pernah membantu kerajaan memperjuangkan kemerdekaan tanah air.

Katanya, berikutan kerugian yang dialami, Kumpulan Utusan mengalami masalah kewangan yang teruk dan secara tidak langsung bakal berdepan kemungkinan terpaksa memberhentikan ratusan kakitangannya.

"Penubuhan akhbar Utusan amat besar ertinya kepada orang Melayu dan jika akhbar keluaran syarikat itu berkubur, ia merupakan sejarah yang paling sedih kepada rakyat Malaysia.

"PJK melahirkan rasa simpati terhadap semua kakitangan dan pekerja akhbar Kumpulan Utusan dan berharap agar kebajikan mereka terbela meskipun sedang menghadapi ujian paling getir ketika ini," katanya. - UTUSAN ONLINE