Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, MoU bersama CMK Consortium yang mewakili pemain industri peralatan kecantikan dari Korea Selatan merupakan tambahan daripada lima pencapaian yang telah diperolehi oleh Labuan Halal Hub (LHH).

Beliau berkata, setakat ini LHH telah menjalin persefahaman dengan beberapa kesatuan peniaga dari Taiwan, Australia, Brunei, Korea Selatan, China dan Eropah.

Jelasnya, sebahagian daripada kolaborasi adalah melibatkan permintaan aktiviti dan latihan dalam pensijilan halal Malaysia dan selebihnya jalinan dagangan untuk menjadikan Labuan hab pemasaran produk halal.

JASON Gill
JASON Gill 

“Di peringkat awal, tumpuan pasaran oleh CMK Consortium adalah Malaysia, Indonesia dan Brunei melalui pengeluaran satu jenama Malaysia.

“Inisiatif oleh bakal pelabur adalah untuk membentuk kluster halal yang meliputi produk kosmetik, makanan dan farmaseutikal,” katanya kepada pemberita selepas majlis MoU itu di sini hari ini.

Dalam majlis MoU itu, LHH diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Manisah Mahmud, manakala CMK Consortium diwakili Pengerusi, Chung Dong-Wan.

Majlis itu turut dihadiri Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Saripuddin Kasim, Pengerusi Labuan Corporation, Datuk Seri Amir Hussein, Atache Kewangan Kedutaan Korea Selatan, Lee Dae-Keon dan Naib Presiden CMK Consortium, Jason Gill.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, kementerian akan memberikan bantuan sepenuhnya bagi memastikan kejayaan MoU itu memandangkan CMK Consortium turut berminat melihat potensi pelaburan bidang lain seperti industri pelancongan.

Sementara itu, Gill berkata, pemilihan Labuan dibuat mengambil kira kedudukannya yang strategik sebagai zon bebas ekonomi.

“Labuan juga memiliki kemudahan seperti pelabuhan dan lapangan terbang yang memudahkan urusan pemasaran produk dihasilkan kelak,” katanya.

Kata beliau, pihaknya akan meneliti nilai pelaburan yang akan dibuat dan bidang-bidang pelaburan lain yang boleh diteroka seperti industri pelancongan. - UTUSAN ONLINE