Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan berkata, kutipan itu meningkat 55.61 peratus atau sebanyak RM404.48 juta berbanding tahun 2017.

‘‘Pencapaian ini amat signi­fikan dan merupakan satu kejayaan besar dalam usaha PTPTN menggalakkan penabu­ngan dalam kalangan rakyat Malaysia.

‘‘Selain itu, bilangan akaun baharu yang dibuka pada tahun lalu pula sebanyak 678,829 akaun. Ini juga pencapaian ter­tinggi dalam sejarah PTPTN sejak kewujudan produk SSPN pada tahun 2004,’’ katanya dalam Program Satu Hati di Terminal One Seremban di sini hari ini.

Majlis itu dirasmikan Pen­gerusi Yayasan Budi yang juga Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri, Tan Sri Dr. Rais Yatim.

Wan Saiful berkata, peningkatan itu disumbang oleh kempen dan kerja keras kakitangan mempromosi SSPN selain insentif yang ditawarkan seperti pelepasan cukai.

‘‘Kalau boleh satu hari nanti apabila ibu bapa dapat bayi, mereka pergi daftar surat beranak dan kemudian daftar untuk menabung dengan SSPN.

‘‘Saya harap budaya ini dita­nam dalam kalangan ibu bapa. Masuk sedikit dulu tak mengapa RM20, RM30 atau RM50 supaya ini jadi permulaan,’’ ujarnya.

Katanya, sejak ditubuhkan 22 tahun lalu, PTPTN telah membantu seramai 3.02 juta pelajar melibatkan dana pinjaman berjumlah RM56 bilion termasuk RM2.4 bilion untuk membiayai 142,665 pelajar di Negeri Sembilan.

Sementara itu, dalam satu majlis di Perlis, Wan Saiful berkata, PTPTN masih mempu­nyai dana mencukupi bagi menawarkan pinjaman kepada pemohon baharu yang bakal me­nyambung pengajian ke ins­titusi pengajian tinggi tahun ini.

Namun, beliau menyeru kepada para peminjam supaya membayar hutang bagi memudahkan sumber berkenaan disa­lurkan pula kepada pemohon baharu.

Katanya, setiap tahun, pihak­nya memperuntukkan sehingga RM3.5 bilion de­ngan keupayaan menawarkan pin­jaman kepada hampir 190,000 pelajar.