Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, jumlah yang lebih tinggi itu diyakini mampu dicapai apabila keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia dijangka berkembang 4.9 peratus pada tahun ini.

“Apabila ekonomi meningkat, sudah tentunya kutipan cukai juga bertambah.

“Selain itu, kita juga yakin berdasarkan kejayaan LHDN sebelum ini yang telah memu­ngut cukai langsung berjumlah RM137.035 bilion iaitu peningkatan 11.13 peratus berbanding 2017,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Sambutan Hari Hasil 2019 di Menara LHDN di sini hari ini.

Dalam masa sama itu, Guan Eng memaklumkan, sejumlah RM1.64 bilion baki pembayaran balik cukai pendapatan telah dilakukan kerajaan kepada pembayar cukai bermula Januari lalu yang membabitkan 32,000 kes.

Katanya, jumlah itu merangkumi 18,215 syarikat, 14,082 bukan syarikat dan 162 duti setem.

“Kerajaan merekodkan pembayaran balik tunggakan cukai berjumlah RM37 bilion merangkumi Cukai Barang dan Perkhid­matan (GST) dan cukai pendapatan dijangka selesai dalam tempoh 10 bulan atau dalam tempoh lebih singkat,” katanya.

Selain itu, Guan Eng berkata, lebih 203,000 pengakuan sukarela telah direkodkan LHDN daripada pemilik akaun bank di dalam dan luar negara di bawah Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) melibatkan cukai tambahan dan penalti yang ditaksir sekitar RM1.306 bilion.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Seri Sabin Samitah berkata, pihak­nya telah menerima maklumat 455,732 akaun bank milik pembayar cukai Malaysia di 57 buah negara.

“Sebahagian daripada mereka telah datang buat pengakuan secara sukarela. Tetapi jumlah ini kita terima daripada pentadbir cukai luar negara,” katanya.