Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, ia bukanlah berdasarkan taksiran ekonomi pada tahun 2017 seperti dakwaan sesetengah pihak sebaliknya mencerminkan pengukuhan dan perkembangan ekonomi dan juga pengenalan tadbir urus kerajaan yang bersih.

Menurutnya, perkara itu disokong lagi dengan prestasi kutipan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang melebihi jangkaan sebanyak 34 peratus pada tahun lalu iaitu tahun pertama cukai tersebut diperkenalkan semula. 

"Sistem percukaian negara khususnya pengenaan cukai di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 berkaitan komponen syarikat, koperasi dan individu, telah lama bertukar kepada sistem taksiran tahun semasa dan bukan lagi sistem taksiran tahun sebelumnya. 

"Pertukaran kepada sistem taksiran tahun semasa bagi Akta Cukai Pendapatan 1967 telah mula berkuat kuasa sejak tahun taksiran 2000," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut Guan Eng berkata, pertukaran kepada sistem taksiran tahun semasa bagi cukai pendapatan petroleum yang dikenakan di bawah Akta Cukai Pendapatan (Petroleum) 1967 telah mula berkuat kuasa daripada tahun taksiran 2010.

Berdasarkan sistem taksiran tahun semasa, jelas beliau, cukai yang dibayar dalam suatu tahun contohnya oleh syarikat bagi tahun lalu adalah berdasarkan kepada anggaran cukai yang kena dibayar oleh syarikat untuk pendapatan yang diterima dalam tahun 2018. 

Anggaran cukai yang kena dibayar bagi tahun 2018 katanya, perlu dikemukakan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) 30 hari sebelum bermulanya tahun tersebut dan ansuran hendaklah dibayar sepanjang tahun 2018 berdasarkan kepada anggaran cukai yang telah dibuat. 

"Kutipan cukai keuntungan harta tanah dan duti setem juga tidak berkaitan dengan situasi percukaian tahun sebelumnya. 

"Ini adalah kerana cukai atau duti bagi pelupusan sesuatu aset dikenakan dalam tahun pelupusan itu dilakukan. Begitu juga duti setem terhadap instrumen atau perjanjian, duti akan dikenakan dalam tahun instrumen atau perjanjian itu dilaksanakan atau ditandatangani," katanya.

Sementara itu, Guan Eng menambah, prestasi kutipan SST bagi tahun 2018 oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pula adalah sebanyak RM5.4 bilion. 

Kutipan dalam tahun lalu itu tambahnya, telah meningkat sebanyak 34 peratus dari sasaran yang ditetapkan iaitu sebanyak RM4 bilion semasa SST dilaksanakan pada 1 September 2018.

"Peningkatan ini adalah kerana usaha-usaha yang dilakukan oleh kerajaan khususnya dalam memberi kefahaman kepada peniaga melalui program pertemuan (engagement) yang diadakan di seluruh negara," katanya. - UTUSAN ONLINE