Malah, hanya dalam tempoh tiga hari mengikuti kursus secara intensif bermula pukul 8.30 pagi hingga 5 petang, rata-rata peserta memiliki kemahiran tinggi bagi menyiapkan produk dihasilkan sekali gus menjadi seorang usahawan berjaya.

Pengarah Kemas Terengganu, Dr. Faridah Mat berkata, kebanyakan peserta terpilih hanya mempunyai pendapatan bulanan antara RM250 hingga RM350, tetapi selepas mengikuti kursus, pendapatan mereka melonjak kepada RM1,000 hingga RM1,500 sebulan.

"Apa yang membanggakan, ada kalangan peserta mampu menjadi usahawan berjaya dalam bidang tertentu seperti masakan dan jahitan dengan pendapatan mencecah sehingga RM5,000 sebulan.

"Begitulah keistimewaan kursus Quick Win yang kita laksanakan bagi membantu masyarakat berpendapatan rendah, hanya dalam masa tiga hari, mereka berpeluang menghasilkan produk bermutu dan terus mendapat tempahan pelanggan," katanya.

Beliau berkata demikian kapada Utusan Malaysia selepas Majlis Perasmian Penutup dan Penyerahan Kit Kursus Quick Win 2019 di Pusat Kegiatan Kemas Parlimen Marang di Merchang dekat sini petang semalam.

Seramai 45 peserta terdiri daripada belia,ibu tunggal dan mereka berpendapatan rendah menyertai kursus dalam bidang bakeri, pastri dan juga jahitan.

Yang turut hadir Pegawai Unit Pendidikan Kemahiran dan Pembangunan Komuniti Kemas negeri, Razali Mamat; Pegawai Kemas Parlimen Marang, Siti Faizah Salleh dan Penyelia Kemas Parlimen Marang, Mohd. Yusof Norbit.

Menurut Dr. Faridah, sejak kursus Quick Win diperkenalkan dua tahun lalu, Kemas negeri berjaya melahirkan seramai 800 orang peserta dalam empat bidang utama iaitu bakeri, pastri, jahitan dan dandanan diri.

"Sepanjang tahun ini kita hadkan kepada 325 peserta melibatkan 32 siri kursus dengan perbelanjaan sekitar RM680,000. Dalam setiap kursus yang disediakan, kita bukan saja beri ilmu dan kemahiran tetapi juga beri peralatan kepada peserta. - UTUSAN ONLINE