Pengarah KPDNHEP negeri, Jaiya Abu berkata, pihaknya sukar untuk mengenal pasti peniaga yang menjual produk tiruan di bazar Ramadan sekiranya tiada aduan daripada pengguna dan pemilik cap dagang itu sendiri.

Menurutnya, sejak bermulanya Ramadan, pihaknya hanya menerima dua aduan daripada orang ramai mengenai jualan produk atau barangan tiruan di bazar Ramadan.

“Selain aduan, KPDNHEP sendiri melaksanakan pemantauan di bazar-bazar Ramadan untuk meninjau sebarang aktiviti jualan barangan tiruan oleh penjual.

“Bagaimanapun, kita hanya boleh menasihatkan peniaga-peniaga tersebut agar tidak menjual barangan tiruan namun tiada tindakan dikenakan terhadap mereka tanpa kehadiran pemilik cap dagang untuk mengenal pasti keaslian barangan dijual,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2019 di Pasar Raya Mydin, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Sumber Manusia, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan Hal Ehwal Pengguna negeri, G. Saminathan.

Menurut Jaiya, tindakan terhadap peniaga bagaimanapun boleh diambil sekiranya pihak KPDNHEP menerima aduan daripada pemilik cap dagang itu sendiri termasuk merampas barangan yang dijual.

“Buat masa ini, kita tidak menerima sebarang aduan daripada pemilik cap dagang itu,” tambahnya. - UTUSAN ONLINE