Beliau berkata, program matrikulasi diperkenalkan khusus untuk pelajar bumiputera bertujuan membangunkan potensi mereka dalam bidang sains, teknologi dan profesional melalui pendidikan prauniversiti berikutan masalah ketidakseimbangan kaum di universiti di negara ini.

"Jika dirujuk dari segi taburan demografi secara peratusan hakiki juga jelas menunjukkan bumiputera adalah bangsa majoriti di negara ini, maka selayaknya konteks kuota pendidikan tinggi dalam negara wajar diberikan mandat kepada golongan ini.

"Jika berlaku penguncupan kepada peratusan laluan awal atau tempat bumiputera dalam arena pendidikan tinggi maka bagaimana ianya mampu seiringan dalam memartabatkan golongan ini agar terus berdaya saing dan menguasai sektor pekerjaan profesional dalam negara seperti yang dihasratkan kerajaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, Utem amat menghargai peranan dan pemantapan usaha kerajaan membuat keputusan untuk meningkatkan bilangan pengambilan pelajar ke program matrikulasi kepada 40,000 tempat pada tahun ini berbanding 25,000 tempat sebelum ini.

Khamis lepas, Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik dilaporkan berkata, adalah sesuatu tidak adil sekiranya kuota matrikulasi bagi bukan bumiputera dilonggarkan tetapi pada masa sama para majikan masih menetapkan syarat perlu fasih berbahasa Mandarin untuk mendapatkan pekerjaan yang secara tidak langsung menafikan hak kaum bumiputera. - BERNAMA