Ahmad Badri berkata, beliau juga bersependapat dengan rumusan Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bahawa sungguhpun tidak ada kehilangan wang dalam kutipan hasil GST, ianya telah digunakan untuk membiayai perbelanjaan mengurus dan pembangunan.

“Saya selaku Ketua Setiausaha Perbendaharaan ingin menegaskan sokongan penuh ke atas usaha Menteri Kewangan untuk memastikan bayaran balik GST sebanyak RM19.4 bilion dikembalikan kepada syarikat yang membuat tuntutan dan telah melalui proses verifikasi Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

“Ini antaranya adalah kumpulan korporat terbesar di Malaysia seperti Petronas, Shell dan Tenaga Nasional Bhd.,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Media semalam melaporkan, Ahmad Badri memberitahu PAC bahawa beliau tidak percaya wang bernilai RM19.4 bilion yang lewat dipulangkan itu sebenarnya dicuri.

Isu tunggakan bayaran balik GST berjumlah RM19.4 bilion itu menimbulkan kontroversi apabila Guan Eng ketika sesi sidang Dewan Rakyat tahun lalu mendakwa wang tersebut ‘dirompak’ semasa pentadbiran kerajaan terdahulu sehingga perkara itu dibawa ke PAC.

Bagaimanapun, Pengerusi PAC, Datuk Dr. Noraini Ahmad dalam satu kenyataan semalam mengesahkan kutipan GST bernilai RM19.4 bilion tidak hilang seperti yang didakwa Guan Eng sebelum ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Badri berkata, beliau juga menyokong rumusan PAC bahawa kerajaan sebelum ini telah memasukkan semua hasil kutipan GST ke dalam Akaun Hasil Disatukan terlebih dahulu dan kemudiannya dipindahkan secara berperingkat apabila diperlukan dan seperti yang diputuskan oleh Jawatankuasa Pembayaran Balik GST ke Kumpulan Wang Pembayaran Balik GST.

Menurutnya, ini adalah tidak selaras dengan peruntukan Seksyen 54(2) dan Seksyen 54(5) Akta GST 2014 seperti yang dinyatakan oleh Peguam Negara.

Dalam pada itu, Ahmad Badri menegaskan, beliau sama sekali tidak mahu sebarang laporan media oleh pihak tertentu mengenai Laporan PAC disalah tafsir yang boleh menimbulkan salah faham atau persoalan awam mengenai hubungannya dengan Menteri Kewangan.

Sejak dilantik sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan pada tahun lalu, tambahnya, beliau mempunyai hubungan baik dan memberi kerjasama penuh kepada Guan Eng dan turut serta dalam pelbagai tugas rasmi di luar negara.

“Saya menghargai keterbukaan Menteri Kewangan untuk mendengar semua idea dan menghormati perbezaan pandangan dalam mencapai keputusan yang terbaik bagi mencapai visi Menteri Kewangan ke arah urus tadbir cekap, akauntabiliti dan telus,” katanya. - UTUSAN ONLINE