Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Prof. Dr. Ahmad Ismail berkata, masalah berkenaan berlaku sejak dahulu lagi tetapi gagal menemui jalan penyelesaian mutlak.

Katanya, ia seolah-olah tiada kaedah berkesan atau penggunaan teknologi yang bersesuaian bagi mengatasi masalah ini.

“Pihak bertanggungjawab mesti jujur dalam menangani isu ini.

“Kenapa pembakaran terbuka masih berlaku? Apakah kaedah atau teknologi yang ada untuk kawalan pembakaran tanah gambut atau pembakaran hutan? Apakah kerjasama negara jiran dalam membantu kawalan pembakaran hutan?” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Setakat pukul 4 petang hari ini, Sri Aman di Sarawak me­nunjukkan bacaan kualiti udara sangat tidak sihat dengan mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada 249.

Beberapa tempat lagi turut menunjukkan bacaan tidak sihat seperti Sarikei (160), Samarahan (199) Sibu (132) dan Miri pada bacaan 114.

Di Semenanjung, bacaan tidak sihat di Batu Muda Kuala Lumpur (101), Johan Setia di Klang (150), Nilai di Negeri Sembilan (108) Putrajaya (104) dan Cheras pada bacaan 104.

Ketika ditanya adakah kerajaan Indonesia perlu meminta maaf kepada Malaysia berhubung isu jerebu akibat daripada pembakaran terbuka ini, Ahmad berkata, tindakan itu tidak menyelesaikan masalah.

“Untuk selesai masalah ialah melalui perundingan dan kerjasama menyelesaikan isu jerebu seperti mengelakkan pembakaran hutan dan jika ada pembakaran bagaimana hendak selesaikan.

“Juga perlu dibincangkan apakah kaedah dan teknologi terbaik,” katanya.