Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kerajaan sepatutnya bertegas dengan keputusan terdahulu, bukan menukar menjadikan pengenalan tulisan khat sebagai pilihan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Tuan Ibrahim berkata, tulisan khat sebagaimana yang disebut oleh Perdana Menteru, Tun Dr. Maharhir Mohamad adalah satu seni sama seperti seni kaligrafi dunia yang lain.

"Kerajaan bila buat keputusan dia tidak boleh dilihat terlaku banyak pusingan 'U', bila buat keputusan kemudian pusing balik menyebabkan kredibiliti kerajaan hilang, ini bukan kali pertama.

"Sesuatu keputusan Kabinet dibincang, dihayati dan diputus kemudian menjadi polisi. Sepatutnya kerajaan bertegas dengan polisi tersebut, bila sekejap nak dikecualikan, sekejap nak bebas akhirnya kita tengok wibawa sebagai kerajaan tu dipertikai banyak pihak," katanya selepas menyampaikan kuliah di hadapan Pejabat Badan Perhubungan Pas negeri di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas keputusan Kabinet semalam yang menetapkan supaya pengenalan tulisan khat dilaksanakan secara pilihan di sekolah vernakular dengan guru diberi kuasa untuk membuat keputusan mengenai kaedah pelaksanaannya di bilik darjah.

Menurut Tuan Ibrahim, tiada apa perlu ditakutkan dengan tulisan Jawi, malah beliau kagum dengan beberapa tokoh DAP seperti Tan Seng Giaw yang boleh membaca dan menulis Jawi dengan baik.

"Kemahiran itu tidak mengubah identiti dan agamanya, sepatutnya bahasa dan tulisan-tulisan ini dipelajari , kerana ia adalah warisan hidup," katanya.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim menggalakkan pusat tuisyen untuk menganjurkan kelas khat dan tulisan Jawi.

"Orang Arab sendiri kagum dengan tulisan kita, seni khat ni antara diiktiraf dunia sama seperti kaligrafi Cina. Malah orang Cina pun tak semua pandai seni tulisan mereka sendiri," katanya. - UTUSAN ONLINE