Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata agensi kerajaan itu akan membantu meningkatkan usaha kementerian membasmi kemiskinan di negeri ini.

“Saya sendiri telah mengemukakan syor kepada Kabinet negeri mengenai keperluan atau cadangan kita supaya sebuah badan berkanun kerajaan negeri atau agensi negeri ditempatkan di bawah KPLB Sabah untuk memberi peluang kepada kita melipatgandakan usaha dalam mensejahterakan luar bandar dan membasmi kemiskinan.

“Kita akan mengadakan perbincangan bersama Ketua Menteri (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) untuk melihat semua ini. Saya yakin Ketua Menteri akan mempertimbangkannya,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Jamawi Jaafar (Warisan-Kemabong) yang bertanya sama ada KPLB Sabah bercadang mewujudkan sebuah agensi di bawah kementerian itu bagi merancakkan lagi pembangunan luar bandar Sabah.

Ewon berkata KPLB Sabah telah mengadakan perbincangan dari semasa ke semasa dengan KPLB Persekutuan untuk melihat mekanisme yang boleh dilaksanakan untuk memperkasakan pelaksanaan projek-projek kecil luar bandar yang diperuntukkan oleh KPLB Persekutuan.

“Antara yang dibincangkan dalam mesyuarat pertama ialah isu-isu keperluan untuk menaiktaraf jalan menuju ke pusat perusahaan atau pelancongan luar bandar.

“Saya amat yakin selepas kita memperolehi data-datanya daripada pejabat daerah maka jawatankuasa Kabinet ini akan mengemukakan kepada kerajaan untuk keputusan seterusnya,” katanya.

Sementara itu, Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Jennifer Lasimbang berkata Sabah mencatatkan seramai 112,100 penganggur pada tahun 2018.

Sehubungan itu, beliau berkata kementeriannya melalui Jabatan Tenaga Kerja Sabah akan terus komited membantu pencari kerja untuk mendapatkan pekerjaan dalam mengurangkan kadar pengangguran di Sabah.

“Melalui Karnival Pekerjaan yang diadakan dari Januari 2019 sehingga Jun 2019, seramai 10,440 penempatan kerja telah berjaya dilakukan,” katanya ketika menjawab soalan Matbali Musah (Bersatu-Lumadan) yang ingin tahu usaha yang dilakukan kerajaan bagi mengatasi masalah pengangguran di Sabah yang dilaporkan terus meningkat.

Jennifer berkata beberapa langkah telah dilakukan untuk membantu golongan pencari kerja di Sabah termasuk penganjuran karnival pekerjaan di beberapa daerah antaranya di Kota Belud, Tenom, Beaufort, Ranau, Kudat, Kunak, Kinabatangan dan Sipitang.

“Jabatan Tenaga Kerja Sabah juga telah merancang untuk mengadakan program ‘outreach’ ke kawasan luar bandar terpilih yang mana pengisian dalam program ini antaranya akan membawa majikan yang bersedia untuk menawarkan peluang pekerjaan kepada para belia dan pencari kerja,” katanya. - BERNAMA