Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, mekanisma itu dirangka bagi memastikan golongan B40 yang mempunyai pendapatan sampingan menerusi pekerjaan kedua mereka seperti yang berniaga nasi lemak, pemandu e-hailing serta peniaga online dapat menjadi pemilik hartanah dan mempunyai kediaman sendiri.

“KPKT tengah melihat beberapa mekanisme yang mana pendapatan sampingan boleh digunakan sebagai sokongan bagi permohonan pembelian rumah.

“Ini kerana kita mahu duit yang diperoleh daripada bekerja sampingan itu tidak dibelanjakan kepada perkara tidak berfaedah, biar mereka jadi pemilik hartanah pula kerana ini masanya B40 terlibat dalam pemilikan hartanah,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan pelancaran jualan projek perumahansyarikat pemaju hartanah, JKP Sdn. Bhd. (JKP) di Taman Ilmu di sini hari ini.

Pada majlis itu, jualan tiga jenis rumah yang dibina oleh JKP iaitu rumah teres satu tingkat (Sarra), rumah berkembar satu tingkat (Aleesya) dan rumah teres satu tingkat (Arora) dilancarkan secara rasmi hari ini.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata, bagi mencari mekanisme terbaik, pihaknya juga telah berbincang dengan pengendali e-hailing iaitu Grab Sdn. Bhd. bagi mengkaji bagaimana wang pendapatan pemandu Grab boleh dimanfaat untuk membeli rumah. - UTUSAN ONLINE