Sambil menafikan dakwaan pengguna berdepan masalah mendapatkan bahan api itu menjelang 1 Januari depan, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Jamil Salleh berkata, petrol dan diesel telah diwartakan sebagai barang kawalan berjadual di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 sejak 21 Jun 1975.

“Justeru, kerajaan akan memastikan pembekalan barang berjadual sentiasa ada di pasaran dan mudah diperoleh oleh pengguna pada setiap masa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, sebuah akhbar tempatan yang memetik kenyataan Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Bumiputera Malaysia (Bumipeda), Datuk Abu Samah Bachik melaporkan pengguna dikhuatiri bakal berdepan masalah mendapatkan petrol dan diesel apabila semua tangki penyimpanan di stesen minyak dijangka kering menjelang 1 Januari 2019.

Kata beliau, ia berpunca daripada keengganan pengusaha stesen minyak menambah simpanan dalam tangki menjelang penghujung bulan ini.

Isnin lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, menerusi kenyataan memaklumkan, kerajaan akan menyelaraskan harga runcit produk petroleum termasuk RON95 kepada harga yang lebih rendah mulai 1 Januari depan.

Kata beliau, kerajaan juga akan menukar kaedah penetapan secara bulanan di bawah Mekanisme Harga Automatik (APM) kepada penetapan secara mingguan dalam keadaan harga minyak dunia yang menurun ketika ini.

Jelas Guan Eng, penetapan harga jualan runcit produk petroleum secara mingguan akan dilaksanakan mulai 1 Januari depan bagi membolehkan pengguna menikmati perubahan harga dengan lebih cepat selaras dengan perubahan harga petroleum di pasaran dunia. - UTUSAN ONLINE