Ketua Cawangan KPDNHEP Pasir Mas, Izani Abdul Latif berkata, pemantauan berterusan itu dilakukan selepas tercetus khabar angin pengusaha stesen minyak enggan menambah simpanan dalam tangki menjelang penghujung bulan ini.

Menurutnya, isu itu timbul selepas kerajaan mengumumkan mahu melaksanakan langkah mengapung semula harga bahan api petrol dan diesel secara mingguan.

"KPDNHEP Pasir Mas tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengusaha stesen yang didapati melanggar peraturan berkaitan stok penyimpanan minyak.

"Bahan api petrol dan diesel telah diwartakan sebagai barang kawalan berjadual di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 sejak 21 Jun 1975 lagi," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan pemeriksaan di salah sebuah stesen minyak, di sini hari ini.

Sebelum ini media memetik kenyataan Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Bumiputera Malaysia (Bumipeda), Datuk Abu Samah Bachik bahawa pengguna dikhuatiri bakal berdepan masalah mendapatkan petrol dan diesel apabila semua tangki penyimpanan di stesen minyak dijangka kering menjelang 1 Januari 2019.

Mengulas lanjut, Izani memberitahu, melanggar syarat yang terkandung dalam lesen runcit barang kawalan yang dikeluarkan merupakan suatu kesalahan.

Katanya, pemilik atau pengusaha stesen boleh dikenakan tindakan di bawah Peraturan Peraturan 12 (A) Peraturan-peraturan Kawalan 1974.

"Mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, pengusaha tidak dibenarkan menutup stesen petrol dan diesel atau memberhentikan penjualan bahan api tersebut di stesen mereka tanpa kebenaran.

"Jika disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama, atau denda RM3 juta bagi kesalahan kedua dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-dua sekali," katanya. - UTUSAN ONLINE