Pengurus Besar Pengurusan Jenama Forest City, Zhou Jun berkata, mereka membeli hartanah bukan baharu sebaliknya sejak 2016 lagi.

"Pembeli dari Hong Kong berminat membeli hartanah di Forest City kerana berhampiran Singapura, kos hidup yang berpatutan dan MM2H (Malaysia Rumah Keduaku) yang membolehkan mereka tinggal dan menetap untuk jangka masa panjang.

"Tidak lupa bahawa komuniti berbilang kaum yang hidup dalam harmoni juga merupakan faktor menarik," katanya ketika dihubungi Utusan Online hari ini.

Warga Hong Kong telah membeli kira-kira 200 unit apartmen di Malaysia dalam tempoh dua bulan lepas.

Memetik portal Astro Awani, menurut ejen hartanah, situasi itu adalah petanda bahawa kumpulan pembeli itu sudah tidak yakin lagi tinggal dalam kegawatan politik di wilayah pentadbiran khas China tersebut.

Reuters pula melaporkan, pembelian terkini itu adalah hampir dua kali ganda bilangan apartmen yang sudah dimiliki warga Hong Kong di projek Forest City di Johor, yang dibangunkan syarikat China, Country Garden Holdings Ltd.

Ejen hartanah menjangkakan Malaysia dan Thailand akan mendapat keuntungan daripada kekecewaan warga Hong Kong yang sudah letih dengan protes jalanan yang berlanjutan selama berbulan-bulan. - UTUSAN ONLINE