“Kami alami ‘blackout’ (terputus bekalan elektrik) sebanyak dua kali iaitu pada awal tahun ini dan pada hari Isnin lepas,” kata Pegawai Eksekutif Wilayah Koperasi Tentera Mohd Rizwan Mehamadi kepada pemberita ketika serbuan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di kawasan berkenaan semalam.

Tambahnya, selain menjalankan rutin harian di pejabat seperti kebiasaannya beliau tidak menjangka bahawa gangguan bekalan elektrik yang dialami pada awalnya itu mempunyai kaitan dengan aktiviti Bitcoin yang beroperasi di lorong belakang koperasinya.

Selain itu, beliau juga mengaku pernah melihat individu yang melakukan usikan pada peti agihan bekalan elektrik sebanyak dua kali iaitu pada awal tahun dan baru-baru ini.

“Saya pernah nampak dia orang menjalankan aktiviti di peti ini iaitu pertama pada waktu malam awal tahun dan waktu siang baru-baru ini.

“Selepas kita buat laporan (kepada TNB) tempoh hari baru kita tahu rupanya terdapat premis Bitcoin di kawasan ini,” katanya.

Sebanyak 33 premis di sekitar Kuantan diserbu TNB kerana disyaki melakukan usikan pada peti agihan elektrik untuk menjalankan aktiviti perlombongan matawang kripto Bitcoin sehingga mengakibatkan kerugian sebanyak RM3.2 juta kepada utiliti tenaga itu.

Aktiviti perlombongan Bitcoin itu melibatkan penggunaan rangkaian komputer berkuasa tinggi, menyebabkan mereka mencuri bekalan elektrik untuk mengurangkan bil dengan membuat sambungan pintasan daripada peti agihan elektrik secara terus ke dalam premis tanpa melalui meter.

Mata wang kripto itu membolehkan individu memindahkan nilai antara satu sama lain dan membayar barangan dan perkhidmatan tanpa melalui bank-bank dan sistem kewangan arus perdana, namun ia tidak sah di Malaysia. - BERNAMA