Mohd. Hatta Ramli

Timbalan Menteri Pemba­ngunan Usahawan, Datuk Dr. Mohd. Hatta Ramli berkata, ahli-ahli koperasi mencontohi langkah negara-negara maju seperti Jepun dan Sepanyol yang menggunakan koperasi dalam semua aspek kehidupan.

“Penduduk di daerah Barcelona misalnya telah menggunakan koperasi dalam semua aspek kehidupan sehingga mereka mampu berdepan de­ngan pergolakan ekonomi dunia.

“Mereka percaya koperasi bukan hanya mampu memberi manfaat kepada diri dan keluarga, bahkan aktiviti yang dijalankan koperasi turut memberi kesan baik kepada sektor usahawan dan perniagaan ne­ga­ra,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Kali Kedua 2019 Koperasi Jaringan Niaga Wilayah Persekutuan Berhad (Kojana) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Kojana, Saripuddin Mohd. Yatim.

Sementara itu, Mohd. Hatta berkata, pengendali koperasi perlu memastikan akti­viti yang dijalankan memiliki nilai yang positif, bukan hanya kepada ahli tetapi semua pihak.

“Koperasi memang diakui sejak tahun 50-an berupaya menjana keuntungan tetapi pengendalinya harus bersikap amanah dan berintegriti tinggi agar dapat mengagihkan secara adil kepada para ahli serta masyarakat,” katanya.

Dalam masa sama, Kojana turut memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan tiga persatuan koperasi perniagaan iaitu Dewan Perniagaan Jualan Jimat Harapan Rakyat Malaysia, Persatuan Pengimport Daging Halal Muslim Malaysia dan Usaha Mulia Resources Sdn. Bhd.

Kojana telah ditubuhkan pada 2013 bagi memperkasakan golongan usahawan selain berperanan mempromosikan produk-produk usahawan tempatan.