Justeru itu, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) perlu memberi fokus ke arah memperkasa pembangunan gerakan koperasi dalam penguasaan rantaian nilai untuk mengekang kos sara hidup yang tinggi melalui penglibatan koperasi dalam industri pemborongan dan peruncitan.

“Dengan bilangan koperasi yang lebih daripada 14,000 pada masa kini serta kekuatan anggota seramai 6.5 juta orang iaitu hampir 20 peratus populasi negara, gerakan koperasi secara kolektif mempunyai kuasa untuk mempengaruhi kos sara hidup rakyat dengan berkesan.

“Ia secara langsung menunjukkan kuasa gerakan koperasi yang boleh memberi kesan kepada harga barangan pengguna di pasaran kerana melalui koperasi, kita adalah pemilik dan kita juga pengguna,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Koperasi dan Bekwoh (Kenduri) Rakyat anjuran Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) di Pantai Geting di sini, hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin; Pengerusi Eksekutif SKM, Datuk Nordin Salleh; Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan Datuk Husam Musa dan Ahli Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, gerakan koperasi juga berupaya memainkan peranan dalam setiap peringkat rantaian bekalan termasuk pemasaran barangan pengguna pada harga yang kompetitif, sekaligus dapat mengurangkan peranan orang tengah yang mempengaruhi pasaran.

“Model perniagaan koperasi itu sendiri dilahirkan bagi memendekkan rantaian bekalan dengan mengurangkan peranan orang tengah.- BERNAMA