Persidangan dua hari itu yang berakhir hari ini turut mendapat kerjasama daripada Institut Integriti yang antara lain bertujuan membincangkan isu dan peranan penting tadbir urus dan integriti dalam era digital.

Ia mengumpulkan pihak industri, agensi kerajaan dan ahli akademik dengan 82 kertas kerja dan pembentang daripada United Kingdom, Indonesia, Jerman, Oman, Pakistan, Korea, Filipina, Vietnam, Singapura, Hungary, Emiriah Arab Bersatu dan Malaysia.

Persidangan berkenaan dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas, Sistem Penyampaian Awam dan Inovasi negeri, Datuk Seri Norolazali Sulaiman yang mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Yang hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Datuk Seri Ibrahim Ahmad; Naib Canselor UMP, Prof Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, Datuk Mahmud Mohd, Nawawi; Pemangku CEO IIM, Norafiza Saim; Johari Jalil daripada Yayasan Bank Rakyat dan Ketua Pegawai Operasi YP, Airul Amri Amran.

Dalam ucapannya, Norolazali berkata, penganjuran persidangan itu memberi peluang peserta berkongsi kepakaran dan pengalaman dalam bidang integriti dan governan berdepan dengan Revolusi Digital.

“Pemilihan tema ini bertepatan pada masanya dan kini sudah tiba masanya untuk organisasi berfikir semula dan mendapatkan kaedah penyelesaiannya terhadap produktiviti, memastikan kualiti serta menjamin kepuasan pada perkhidmatan menggunakan teknologi digital,” katanya.

Selain itu, pihaknya berbangga dengan Portal My Goverment yang menyokong sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan yang merupakan satu platform rangkaian bagi membolehkan capaian kepada aplikasi-aplikasi kerajaan elektronik, aplikasi dalaman agensi atau intranet serta capaian ke internet.

Sementara itu, Wan Azhar mengharapkan kerjasama baik dengan Yayasan Pahang berkenaan dapat memanfaatkan bidang pendidikan dan pembangunan modal insan di negeri ini.

"Malah kerjasama ini juga memberi peluang universiti meneroka lebih banyak peluang terhadap program bagi meningkatkan kesedaran integriti dan governan menerusi pelbagai inisiatif yang dijalankan," katanya. - UTUSAN ONLINE