JTI Malaysia menganggap kementerian tersebut seolah-olah mengelak daripada melaksanakan peruntukan yang terdapat dalam Akta Racun 1952, sebagai reaksi syarikat itu terhadap kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad bahawa kerajaan akan mengemukakan draf undang-undang kepada Jabatan Peguam Negara sebelum dibentangkan kepada Kabinet pada awal tahun depan.

Nada kecewa diluahkan oleh Pengarah Urusan JTI Malaysia, Cormac O’Rourke kepada Utusan Online hari ini.

“Walaupun Menteri Kesihatan berkata bahawa kementerian mengambil perkara ini dengan serius, persoalan yang lebih serius adalah mengapa mereka tidak mengambil kira undang-undang semasa dengan serius dan membenarkan vape haram terus berkembang,” katanya.

Utusan Malaysia sejak Isnin lalu menerbitkan laporan khas yang mendedahkan kedudukan Malaysia sebagai antara sasaran utama industri vape global.

Utusan Malaysia turut menggesa kerajaan mengawal selia penjualan dan penggunaan vape di negara ini melalui peruntukan undang-undang sedia ada atau penggubalan undang-undang baharu.

Dakwa O’Rourke, kementerian seolah-olah secara sengaja mengelirukan orang awam mengenai batas penguatkuasaan di bawah Akta Racun, sedangkan pada masa yang sama mengakui bahawa lebih daripada 90 peratus cecair vape di pasaran mengandungi nikotin.

Tambah beliau, hakikatnya jika kementerian meninjau dalam talian atau pergi ke mana-mana kedai menjual vape, akan mendapati kesemua produk ini melanggari syarat-syarat Akta Racun kerana kebanyakanya mempunyai label yang jelas bahawa produk-produk mengandungi nikotin.

“Walaupun menteri berkata produk-produk vape tidak disenaraikan di bawah Akta Racun, perkara yang perlu diberikan perhatian ialah nikotin disenaraikan sebagai racun Kumpulan C yang mana lesen untuk menjual dan mengedarkannya diperlukan.

“Kementerian sendiri mengesahkan bahawa tiada lesen seperti itu dikeluarkan mereka. Oleh itu, saya tidak faham mengapa Menteri Kesihatan berkata mereka tidak boleh bertindak?” soalnya lagi.

Kata beliau, penggunaan vape haram berkembang pada kadar lebih pesat berbanding rokok haram di negara ini, dengan mengambil kesempatan terhadap kelemahan penguatkuasaan. - UTUSAN ONLINE