Pengarah Bahagian Perancangan Kecemerlangan Institut Pengajian Tinggi (IPT) Jabatan Pendidikan Tinggi , Profesor Dr. Raha Abdul Rahim berkata, penyelidik perlu mencari platform untuk memperkenalkan hasil penyelidikan mereka agar dapat dimanfaat industri dan masyarakat.

“Mereka haruslah menerapkan budaya bertemu mata dengan industri untuk mengetengahkan kepakaran yang dimiliki.

“Kita tidak mahu penyelidik selepas membuat penyelidikan mereka hanya menerbitkan kertas kajian semata-mata, sebaliknya perlu mencari platform untuk memperkenalkan hasil penyelidikan tersebut.

“Kepakaran yang mereka hasilkan bukan hanya perlu difokuskan di negeri ini sahaja, tetapi boleh diluaskan di seluruh negara. Kita mahu kepakaran penyelidik universiti tempatan diguna pakai di peringkat ASEAN,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Penyelidikan dan Inovasi 2018 di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), di sini hari ini.

Yang turut hadir, Naib Canselor UMK, Profesor Datuk Dr Husaini Omar dan Timbalan Naib Canselor Pendidikan Dan Inovasi UMK, Profesor Datuk Dr Ibrahim Che Omar.

Dalam pada itu, Husaini berkata, hari ini UMK turut melancarkan 11 produk inovasi baharu hasil kajian penyelidik universiti itu. 

“Antara produk yang dihasilkan ialah Inovasi Rumah Burung Walet oleh Dr. Mohamad Faiz Mohd Amin; Soft Gelatin Madu Kelulut oleh Profesor Ir Ts Dr Ahmad Ziad Sulaiman dan “Smart Aqua Monitoring System” oleh Dr Mohamad Faiz Mohd Amin.

“Pihak UMK bangga dengan kesungguhan penyelidik yang bersaing sesama sendiri bagi mendapatkan hasil terbaik selepas mendapat geran penyelidikan bagi memberi manfaat kepada masyarakat di Malaysia,” katanya.- UTUSAN ONLINE