Sumbangan wang tunai dan makanan itu disampaikan Presiden KMJ, Mohamad Fauzi Ishak kepada Ketua Biro Utusan Malaysia Johor, Zulhisham Isahak di Pejabat Utusan Malaysia Biro Johor, Jalan Serampang di sini sebentar tadi.

Mohamad Fauzi ketika ditemui berkata, KMJ melahirkan rasa simpati dan berharap rakyat Malaysia menyokong akhbar Kumpulan Utusan seperti Utusan Malaysia dan Kosmo! dengan membeli setiap hari atau melanggannya.

"Ramai yang tidak menyedari Utusan Malaysia adalah akhbar yang mempunyai sejarah panjang dan sangat berkait dengan penubuhan Malaysia.

"Nilai sentimentalnya sangat tinggi bukan sahaja terhadap industri media tetapi sejarah Malaysia itu sendiri," katanya ketika ditemui.

Yang turut hadir Timbalan Presiden II KMJ, Raja Jaafar Raja Ali.

Mohamad Fauzi berkata, sumbangan Utusan Malaysia amat besar kepada negara dan kewujudannya masih relevan sehingga kini kerana terus memperjuangkan hak Melayu dan Islam serta Perlembagaan tanpa meminggirkan hak kaum lain. - UTUSAN ONLINE