Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Norhizan Ismail berkata program berkenaan merupakan kerjasama tiga hala antara Kementerian Kesihatan, Unishams dan MS New Symphony Exercise Clinic.

Beliau berkata individu yang datang ke Klinik Kesihatan Kuala Ketil akan disaring dan mereka yang berisiko menghidap NCD akan dirujuk ke Klinik Senaman berkenaan tanpa dikenakan sebarang bayaran.

“Program itu melibatkan individu berisiko menghidap NCD antaranya kencing manis, darah tinggi, paras kolesterol tinggi, terlebih berat badan dan obesiti,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Beliau berkata selepas saringan, individu yang berisiko akan diberikan rejim preskripsi senaman yang sesuai oleh ahli terapi senaman mengikut faktor risiko klien dan program itu akan berlangsung antara enam bulan hingga setahun.

Dr. Norhizan berkata, sehubungan itu masyarakat terutamanya di sekitar Kuala Ketil, diseru agar memanfaatkan kemudahan itu, sekali gus membolehkan mereka meningkatkan kualiti kesihatan masing-masing. - BERNAMA