Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, mereka juga perlu memandu dengan cermat dan tenang di samping kawal perasaan marah serta mewujudkan suasana harmoni bersama keluarga semasa dalam kenderaan.

“Sila singgah di kawasan rehat dan rawat untuk mengurangkan stres dan gangguan emosi serta jika juta mengantuk,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Selain itu, Noor Hisham menasihatkan orang ramai agar sentiasa mengamalkan cara hidup sihat dan amalan kebersihan diri yang baik bagi memastikan perayaan bersama orang tersayang dapat dinikmati dengan sempurna.

Katanya, soal itu termasuklah dengan memastikan persekitaran rumah bersih bagi mengelakkan pembiakan nyamuk yang boleh menyebabkan penyakit denggi, chikungunya, malaria dan lain-lain penyakit bawaan vektor.

Dalam masa sama, beliau berharap orang ramai agar sentiasa mengutamakan amalan kebersihan makanan ketika menyediakan juadah dengan menggunakan bahan mentah segar dan dimasak dengan sempurna.

“Makan makanan dalam tempoh empat jam dari masa penyediaannya serta ia hendaklah disimpan pada suhu selamat.

“Ia hendaklah dipanaskan pada suhu dan jangka masa yang betul sebelum dimakan. Sila amalkan konsep ‘lihat, hidu dan rasa’

bagi mengelakkan keracunan makanan,” katanya.

Selain itu, Noor Hisham menyeru agar masyarakat meneruskan semangat tabiat berhenti merokok selaras dengan saranan Nafas Baru Ramadan.

“Sayangi diri dan orang tersayang di sekeliling anda dari bahaya asap rokok.

“Akhir kata, ambil kesempatan menziarahi jiran tetangga dan sanak saudara dengan berjalan kaki bagi meneruskan cara hidup aktif selain makan secara sihat dengan mengawal kuantiti yang diambil,” katanya.-UTUSAN ONLINE