KKM sehubungan itu menggariskan 10 langkah pencegahan sebagaimana berikut:

1. Elakkan aktiviti fizikal di luar bangunan bagi mengurangkan pendedahan kepada jerebu. Aktiviti fizikal akan menyebabkan peningkatan kadar pernafasan dan keadaan ini boleh meningkatkan risiko penyakit akibat jerebu.

2. Selari dengan saranan di dalam Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, penganjuran melibatkan aktiviti fizikal di luar bangunan dinasihatkan supaya ditangguhkan apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 100.

3. Banyakkan berada berada di dalam bangunan (indoor) dan jika terpaksa berada di luar, gunakan penutup hidung dan mulut (face mask) yang sesuai.

4. Tutup tingkap bagi mengurangkan asap jerebu masuk ke dalam rumah atau bangunan.

5. Elakkan aktiviti yang boleh meningkatkan pencemaran udara dalam rumah atau bangunan dengan tidak merokok dan sentiasa membersihkan persekitaran dalaman.

6. Gunakan pendingin hawa dengan memilih operasi (mode) kitaran udara dalaman semasa memandu kenderaan.

7. Banyakkan minum air kosong walaupun tidak terasa dahaga (sekurang-kurangnya 8 gelas sehari).

8. Jika mampu pasanglah alat pendingin hawa dan penapis udara (air filter/purifier) yang berkecekapan tinggi di rumah bagi menapis partikel halus dan menghalang kemasukan pencemaran udara dari luar.

9. Sentiasa awasi kesihatan anak-anak kecil dan mereka yang menghidap penyakit respiratori dan jantung kerana mereka lebih mudah terjejas akibat pendedahan kepada jerebu.

10. Dapatkan rawatan di fasiliti kesihatan terdekat sekiranya tidak sihat.

"KKM dengan kerjasama rapat agensi-agensi berkaitan akan terus memantau keadaan jerebu dan juga keadaan pesakit yang datang mendapatkan rawatan di klinik dan jospital KKM," jelasnya dalam satu kenyataan di sini malam ini.

KKM turut menyarankan orang ramai mengikuti perkembangan semasa jerebu melalui laman portal Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengenai fenomena berjerebu di kawasan atau daerah masing-masing. - UTUSAN ONLINE