Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, KKM mengesahkan produk AMB jenama Starfresh hanya dipasarkan ke Singapura dan tidak dijual di pasaran tempatan.

Beliau berkata, hasil verifikasi melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan KKM mendapati, kilang yang menghasilkan produk tersebut melaksanakan program jaminan keselamatan makanan dan mematuhi keperluan pelesenan punca air minuman yang ditetapkan oleh KKM.

“Walau bagaimanapun, KKM sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung punca pencemaran sepertimana yang dilaporkan sebelum tindakan lanjut diambil,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas penarikan balik produk AMB jenama Starfresh keluaran Malaysia dari pasaran Singapura yang dilaporkan di laman sesawang Singapore Food Agency (SFA) kelmarin.

Laporan tersebut menyatakan, pihak SFA telah mengarahkan produk AMB tersebut ditarik balik kerana dikesan tercemar dengan bakteria Pseudomonas aeruginosa.

Produk AMB yang terlibat berisipadu 1500ml dan 500ml dengan tarikh akhir masing-masing pada 13 Mei 2021 dan 11 Mei 2021.

Menurut Dr. Noor Hisham lagi, KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna dan sentiasa menjalankan pemantauan ke atas produk-produk makanan di pasaran tempatan termasuk produk AMB.

Beliau menegaskan, produk AMB untuk jualan perlu mematuhi Peraturan 360B, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 di bawah Akta Makanan 1983.

“Seksyen 13, Akta Makanan 1983 telah menetapkan bahawa mana-mana orang yang menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan kesihatan adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali, “ katanya.

Beliau menjelaskan, bakteria Pseudomonas aeruginosa adalah sejenis bakteria yang terdapat secara meluas di persekitaran dan boleh ditemui di dalam air, najis, sisa kumbahan dan tanah.

Bakteria itu katanya, boleh menyebabkan pelbagai jenis jangkitan penyakit kepada manusia khususnya kepada golongan yang mempunyai sistem ketahanan badan yang rendah.

“ Namun, produk makanan yang dicemari bakteria ini jarang memberikan kesan kesihatan kepada individu yang sihat,” jelasnya.

Kata beliau lagi, sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat.

Orang ramai juga boleh berhubung melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq. - UTUSAN ONLINE