Katanya, antara masalah tersebut adalah apabila pembayaran pencen itu yang jumlahnya sudah berbeza daripada dahulu.

"Umpamanya orang yang pencen 20 tahun lalu dapat pencen. Tangga gaji terakhir pegawai kerajaan antaranya tidak lebih RM6,000 atau RM7,000 dan mereka dapat pencen RM3,000 sampai sekarang. Namun orang bersara sekarang ini, pegawai kerajaan sudah dapat gaji sampai RM20,000 jadi yang bersara sekarang dapat pencen RM10,000.

"Yang bersara dulu pencen RM3,000 sekarang dan sekarang RM10,000. Semua ini, masalah yang perlu kita kaji. Kita akan kaji sepanjang masa, sebab kita jaga kepentingan rakyat," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian Konvensyen Padi Kebangsaan 2019 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub dan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

Baru-baru ini, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Borhan Dolah dilaporkan berkata lantikan baharu dalam perkhidmatan awam mungkin tidak lagi dibuat di bawah skim tetap dan berpencen sebaliknya digantikan dengan skim lantikan kontrak yang ditambah baik bermula tahun depan.

Menurut Borhan, langkah itu diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa khas pembaharuan perkhidmatan awam pada Oktober 2018 yang mahukan perkhidmatan awam dikecilkan secara berfasa dan berdasarkan keperluan, selain mengurangkan bebanan pencen yang kini mencecah RM28 bilion.

Sementara itu, Dr. Mahathir memberitahu, pihaknya masih tidak membincangkan mengenai

cadangan tiada lagi lantikan baharu dalam perkhidmatan awam di bawah skim tetap dan berpencen.- UTUSAN ONLINE