Saipuddin Mohamad

Penolong Setiausahanya, Saipuddin Mohamad berkata, jika tidak Ahli Parlimen Iskandar Puteri hanya jaguh di media sosial sama seperti 'cyber troopers' partinya, Red Been Army yang hanya berani di alam maya untuk memecah belahkan perpaduan rakyat.

Beliau berkata, sekarang adalah masa terbaik untuk Kit Siang membuktikan dirinya mempunyai kredibiliti kerana sebelum ini ahli politik veteran itu bersungguh-sungguh mahukan Zakir keluar dari negara ini.

"Sekiranya Kit Siang hanya mampu mengeluarkan kenyataan di media sosial mahupun blog beliau, ianya tidak akan mengubah apa-apa. Beliau perlu membuktikan kredibiliti dirinya kerana beliau adalah orang yang bersungguh-sungguh mahukan Zakir meninggalkan Malaysia.

"Jika beliau gagal hadir ke Kota Bharu untuk berbahas sendiri dengan Zakir, itu bermakna beliau hanyalah jaguh di media sosial semata-mata. Tidak lebih daripada Red Been Army," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam Dewan Pemuda Pas negeri ini memberi kata dua kepada Kit Siang sama ada hadir ke program pidato Zakir pada Jumaat ini di Stadium Sultan Muhammad IV di sini atau menutup mulut sahaja jika tidak berani berhadapan atau gagal berhujah dengan pendakwah antarabangsa tersebut.

Ketuanya, Mohd Ariff Abdullah dilaporkan berkata, peluang untuk mengemukakan hujah dan bukti di hadapan Zakir seharusnya digunakan oleh pemimpin DAP sesuai dengan amalan parti itu sendiri yang dikatakan terbuka dan bersifat demokratik.

Mohd. Ariff turut meninggalkan salinan surat jemputan tersebut di Pejabat DAP di Bunut Payung pada petang semalam selepas jemputan rasmi telah dihantar ke ibu pejabat parti tersebut.

Pada 3 Ogos lalu, Utusan Online melaporkan Kerajaan Pas Kelantan telah menjemput Kit Siang datang berbahas sendiri dengan Zakir Naik di Stadium Sultan Muhammad IV pada Jumaat ini denga semua kos pengangkutan termasuk penginapan serta makan dan minum Kit Siang akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri ini. - UTUSAN ONLINE