Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang), Mohd. Fauzi Mohd. Yatim berkata, ulasan teknikal itu telah menjelaskan bahawa kilang itu dibenarkan untuk beroperasi semula dalam tempoh enam bulan.

Sehubungan itu, menurutnya, permit tersebut dikeluarkan MPSepang selepas mendapat laporan daripada JAS bahawa kilang tersebut telah memasang alat kawalan pencemaran udara dan membina sistem pengolahan efluen seperti yang dikehendaki mengikut Akta Alam Sekeliling 1974.

“MPSepang mengeluarkan permit itu berdasarkan ulasan JAS justeru, penduduk setempat tidak perlu khuatir dengan tahap keselamatan kilang tersebut kerana JAS terlebih dahulu telah memberi lampu hijau agar ia beroperasi.

“Kita sudah tentu akan menitik beratkan aspek alam sekitar sebelum membuat sebarang keputusan dan tidak akan sewenang-wenangnya mengeluarkan permit terhadap kilang itu tanpa sebarang siasatan daripada JAS terlebih dahulu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd. Fauzi menjelaskan, selain ulasan teknikal JAS, MPSepang juga telah menetapkan syarat agar kilang itu perlu menyediakan laporan kajian impak alam sekitar (EIA) dalam tempoh enam bulan.

Jelasnya, dalam tempoh itu, kilang itu perlu membuktikan bahawa operasi mereka tidak mencemarkan sungai dan udara di kawasan tersebut

“Walau bagaimanapun, sekiranya kilang itu gagal dalam laporan EIA, kita tidak akan teragak-agak untuk mengeluarkan menghentikan operasinya dengan segera.

“Selepas isu ini kembali dibangkitkan oleh penduduk, kita juga akan mendapatkan ulasan teknikal terkini daripada JAS dalam mesyuarat Jawatankuasa Perlesenan MPSepang yang akan diadakan dalam masa terdekat,” katanya.

Jelasnya, beliau juga berharap agar penduduk setempat tidak bimbang kerana permit tersebut hanya bersifat sementara dan MPSepang akan mengkaji semula operasi kilang itu jika ia mendapat kelulusan laporan EIA.

Penduduk sekitar Sungai Pelek dan Sepang hari ini telah mengadakan demonstrasi bagi membantah operasi sebuah kilang pemprosesan sisa plastik berkenaan. - UTUSAN ONLINE