Namun, suasana sambutan itu seolah-olah tidak dirasai di negeri ini apabila semakin kurang orang ramai yang mengibarkan Jalur Gemilang.

Tinjauan Utusan Malaysia di tiga daerah di negeri ini iaitu di sini, Arau dan Padang Besar mendapati banyak premis perniagaan dan rumah yang tidak mengibarkan bendera.

Begitu juga kenderaan-kenderaan yang melalui jalan-jalan raya.

Pemandu, Jazaly Amry Jaafar, 34, mengakui merasakan Sambutan Hari Kebangsaan 2019 suram dan tidak seperti sebelum-sebelum ini.

Katanya, kesedaran masyarakat mengibar Jalur Gemilang semakin kurang meskipun kempen giat dilakukan.

"Jika dahulu, di premis-premis perniagaan, rumah dan jalan raya megah dengan kibaran Jalur Gemilang. Namun tahun ini, suasana itu tidak berlaku... Boleh dikatakan dalam 100 buah rumah, hanya sebuah sahaja yang memasang Jalur Gemilang.

"Sambutan disambut setahun sekali, apa salahnya kita menunjukkan rasa cinta terhadap negara dengan mengambil inisiatif mengibar Jalur Gemilang. Hidupkanlah suasana kemerdekaan seperti dahulu dengan Jalur Gemilang megah berkibar di mana-mana," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tukang masak, Azizi Abu Bakar,37, pula berkata, dia merindui suasana Hari Kebangsaan pada lima atau 10 tahun lalu yang meriah dengan orang ramai berlumba-lumba memasang bendera Malaysia.

"Suasana seperti itu perlu dihidupkan kembali dengan terus mempergiatkan kempen mengibar Jalur Gemilang ini," katanya.- UTUSAN ONLINE