Namun, bagi pakar ekonomi, Prof. Dr. Barjoyai Bardai, kerugian dan kemerosotan aset yang dicatat Khazanah tidaklah bermakna syarikat pelaburan milik kerajaan (GLIC) itu berada dalam keadaan nazak.

Ini kerana, menurut beliau, Khazanah kini sedang dalam tempoh pemulihan namun malangnya, proses pemulihan itu dilakukan pada waktu tidak tepat, menyebabkan syarikat itu mengalami kerugian.

“Khazanah telah cuba dibaikpulihkan pada masa yang mungkin kurang strategik kerana (pada masa itu) pasaran saham sangat rendah. Oleh sebab itu apabila saham-saham cuba dijual, ia menunjukkan penyusutan dalam nilai aset daripada RM116 bilion menjadi RM91 bilion. Ini menyebabkan ia terpaksa mengumumkan kerugian sebanyak RM6.27 bilion.

“Cuma apakah ini membayangkan Khazanah dalam keadaan nazak? Saya rasa tidak. Inilah nilai sebenar Khazanah hari ini berasaskan kepada keadaan pasaran saham yang agak lemah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Shahril Ridza Ridzuan hari ini membentangkan Ulasan Tahunan Khazanah 2019 (KAR 2019) yang menyaksikan bukan sahaja syarikat itu mengalami kerugian, malah turut mencatatkan penurunan nilai aset yang signifikan.

Bercakap mengenai penjualan aset Khazanah, Barjoyai berpendapat ia boleh dilakukan tetapi pada waktu yang sesuai, iaitu ketika pasaran saham sudah pulih.- UTUSAN ONLINE