Menurut Wan Azizah, walaupun Perdana Menteri telah mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu, beliau ambil maklum keresahan masyarakat Tionghua berkenaan perkara terbabit.

"Memang saya ambil maklum dan saya akan bincang dengan Perdana Menteri. Walaupun Perdana Menteri telah keluarkan kenyataan, kita akan bincang lebih mendalam. Kita memang ambil maklum keresahan orang Tionghua dalam isu ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas melancarkan pertandingan video kreatif 'Hentikan! Stop it!' dan soal selidik mengenai gangguan seksual anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui Jabatan Pembangunan Wanita di kementerian itu di sini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh.

Wan Azizah berkata demikian ketika diminta mengulas keresahan masyarakat Tionghua berhubung keputusan kerajaan yang tetap akan melaksanakan pengenalan tulisan khat dan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4 pada tahun depan.

Pendirian kerajaan itu ditegaskan oleh Perdana Menteri di sebalik bantahan pihak tertentu berhubung perkara itu.

Pada masa yang sama, Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik memberitahu, kementeriannya bersedia mempertimbangkan keperluan memperkenalkan kaligrafi lain selain seni dan tulisan khat dalam kurikulum sekolah di negara ini.

Menurut Maszlee, perkara itu boleh dibincangkan secara terperinci memangdangkan negara terdiri daripada pelbagai kaum yang memiliki identiti kesenian masing-masing. - UTUSAN ONLINE