Gambaran awal di sini mungkin murid-murid yang terlibat akan belajar tulisan khat beberapa perkataan yang signifikan dengan negara ini. Mungkin Malaysia sebagai contoh.

Tujuan kementerian kerana tulisan itu sebahagian daripada warisan bahasa Melayu. Walaupun Kementerian Pendidikan tidak menyebut langsung tulisan Jawi dalam kenyataan akhbar tersebut, namun boleh difahami kerana itu tulisan asal bahasa Melayu.

Ini seperti mana anak-anak yang belajar bahasa Arab, harus mengenal tulisannya. Begitu juga yang belajar Mandarin, Jepun, Benggali, Korea, Hindi, Tamil dan lain-lain bahasa yang ada tulisannya sendiri.

Apatah lagi matlamat Kementerian Pendidikan seperti dinyatakan hanyalah bertujuan menerapkan elemen warisan bahasa Melayu dan identiti negara kepada generasi muda.

Tiada yang luar biasa. Ini adalah semangat daripada Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan juga Akta Bahasa Kebangsaan 1967 itu sendiri.

Namun, itu kata rakyat yang rasional tetapi ada kelompok membantah keras pengajaran tulisan khat yang tidak pun dinilai dalam peperiksaan. Jauh mereka menganalisis sehingga mengandaikan ini usaha awal mengembalikan Jawi sebagai tulisan bahasa Melayu.

Aduh, hairan sungguh. Kalau ke bandar-bandar lama, lihatlah bangunan sebelum atau awal merdeka, banyak menggunakan tulisan Jawi walaupun premis persendirian. Malah ada papan tanda bangunan persatuan berasaskan keturunan (bukan Melayu) juga ada tulisan Jawi selain tulisan bahasa utama mereka.

Tidak ada isu bagi orang dulu tetapi tidak sekarang. Jadi, kerajaan usahlah peduli dengan kelompok-kelompok yang tidak pernah senang dengan penerapan identiti kebangsaan. Maka sudah masanya jangan tunduk mudah-mudah.

Mana pandangan kumpulan itu yang boleh pakai, pakailah. Cukup setakat itu. Biarlah mereka nak bantah pun. Boleh buat apa, kuasa di tangan kerajaan. Janji buat benda betul rakyat akan sokong, macam meneruskan pengajaran tulisan khat tahun depan. - UTUSAN ONLINE