MCCBCHST juga memberitahu, bahagian penting dalam identiti Malaysia adalah bahasa Melayu dan bukan skrip atau tulisan Jawi.

Mereka turut menyifatkan tulisan Jawi sebagai bukan suatu kebiasaan termasuk dalam kalangan orang Melayu sejak sekurang-kurangnya 50 tahun lalu.

“Khat kaligrafi Arab dan tidak pernah menjadi sebahagian daripada identiti Malaysia tetapi identiti Islam.

“Khat perlu diajar dengan menggunakan skrip Jawi. Kita juga tahu bahasa kebangsaan kita bahasa Melayu dan bukan Jawi…ini menimbulkan persoalan motif,” katanya dalam kenyataan seperti dipetik daripada laporan Free Malaysia Today hari ini.

MCCBCHST menambah, khat berkait rapat dengan ajaran Islam kerana ia menggunakan ayat-ayat al-Quran.

Oleh itu, pengajaran khat mungkin menyalahi Perkara 12(3) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan tiada seorang pun boleh dikehendaki menerima ajaran sesuatu agama atau mengambil bahagian dalam apa-apa upacara atau upacara sembahyang sesuatu agama, selain agamanya sendiri.

Ia juga menepis hujah kementerian mengatakan khat dipamerkan pada jata negara dan wang kertas.

“(Ini) tidak relevan. Tiada siapa yang membantahnya, dan ia isu berbeza sama sekali,” katanya.

MCCBCHST juga menggesa Kementerian Pendidikan menangguhkan pelaksanaan khat yang ditetapkan tahun depan sehingga semua kebimbangan yang dibangkitkan oleh pemegang taruh ditangani.

Persatuan itu juga mempersoalkan jaminan kementerian bahawa murid tidak akan diuji tentang khat memandangkan bahasa Melayu ujian wajib.

“Jaminan hanyalah jaminan kecuali ada undang-undang mengenainya diluluskan,” katanya. - UTUSAN ONLINE