Khairy yang juga Komander Rejimen 508 Askar Wataniah dinaikkan pangkat daripada Kolonel ke Brigadier Jeneral yang mula berkuat kuasa 14 Januari 2015.

Khairy yang sebelum ini ditauliahkan pangkat Kolonel berkuat kuasa 28 Oktober 2013 kini merupakan menteri pertama berpangkat Brigedier Jeneral sebenar dalam Rejimen Askar Wataniah dan kekal menjadi Komander Rejimen 508 Askar Wataniah yang berpangkalan di Kem Rasah, Negeri Sembilan.

Beliau menyertai Askar Wataniah pada 20 Januari 2010 sebelum ditauliah sebagai Kolonel pada 28 Oktober 2013. Pernah mengikuti kursus Asas Perajurit Muda selama sebulan pada 26 April 2010 di Rejimen 508 dan Kursus Asas Payung Terjun pada 13 Januari 2011 di Pusat Latihan Peperangan Khusus (Pulpak), Kem Sungai Udang di Melaka.

Turut dinaikkan pangkat ialah Menteri Besar Terengganu Ahmad Razif Abd Rahman sebagai Brigedier Jeneral (Kehormat) dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah sebagai Mejar Jeneral Kehormat.

Majlis pemakaian pangkat pegawai kanan sukarela dan kehormat Askar Wataniah itu disempurnakan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.

Menurut Khairy, minat yang mendalam terhadap bidang ketenteraan mendorong beliau menyertai Askar Wataniah.

Mohd. Irwan Serigar pula menyifatkan penganugerahan itu satu penghormatan besar kepada dirinya.

Sementara itu, Ahmad Razif berkata, pelantikan merupakan satu penghormatan dan secara tidak langsung memudahkan pihaknya mendekati anggota Askar Wataniah.