Pelakon, Jasmin Hamid mengaku sebak dalam kesyukuran apabila penantian selama 30 tahun akhirnya menjadi realiti.

“Semenjak berlakon dulu, inilah antara perjuangan anak-anak seni yang tiada berkesudahan. Bukan tiada tindakan atau usaha daripada pihak sepatutnya, tetapi isu ini bagaikan ‘sunyi’ tanpa khabar berita.

“Hari ini, saya harus akui sangat bangga dengan barisan baharu Finas yang pantas dalam membela nasib golongan seni,” luahnya.

Ia lanjutan daripada pengumuman Pengerusi Finas, Datuk Hans Isaac semalam yang mengatakan kira-kira 30,000 penggiat seni bakal menerima manfaat skim caruman KWSP dan Perkeso yang diperkenalkan Finas bermula 1 Januari depan.

Sementara itu, penerbit yang juga pemilik Zeel Production, Fadzil Teh bersetuju dengan keputusan ini, namun berharap mendapat kerjasama baik daripada pihak terlibat.

“Saya terima keputusan ini dengan hati terbuka kerana ia adalah kebaikan untuk semua penggiat seni tanah air kita.

“Cuma harapan saya agar pihak kerajaan dan stesen televisyen juga memberi kerjasama baik kepada golongan penerbit. Janganlah meletakkan sepenuhnya tanggungjawab ini ke atas bahu kami,” jelasnya.

Menurut Fadzil, dia sudah lama memberikan faedah itu kepada staf dibelakang tabir dan berharap perkara ini boleh membantu para artis dimasa akan datang.

“Setahu saya, pelakon popular sering dibayar mahal dan mereka sepatutnya sudah lama membuat caruman sebegini untuk masa depan.

“Jadi, dengan pelaksanaan caruman KWSP dan Perkeso untuk para penggiat seni, sekurang-kurangnya duit yang ada ‘terselamat,” jelasnya.

Bagi pelakon senior, Wan Julia atau popular dengan nama Mak Wan, dia telah menanti berita sebegini sejak 20 tahun lalu.

“Mungkin kami sudah veteran tidak sempat menikmati hasil caruman KWSP dan Perkeso dalam tempoh yang panjang, tetapi ia satu ‘rahmat’ buat anak-anak muda. Dengan adanya caruman sebegini, dapatlah membantu kami golongan artis untuk memudahkan urusan beli rumah, pinjaman peribadi dan sebagainya.

“Kami juga seperti orang lain inginkan kehidupan selesa. Jadi biarlah kami menikmati hasil caruman seperti orang lain juga,” luah Mak Wan yang berharap nasib penggiat seni terus terbela. - UTUSAN ONLINE