Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Industri, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri, Asmuni Awi berkata, ini termasuk menyelidik latar belakang calon.

Bagaimanapun kata beliau, sekiranya mereka ada melakukan kesalahan atau melanggar undang-undang maka ia terserah kepada siasatan pihak berwajib.

“Pemilihan dan pelantikan ketua kampung dibuat mengikut prosedur yang telah ditetapkan. Kita periksa dan buat tapisan.

“Kalau ketua kampung ada lakukan kesalahan dia pun tidak terlepas daripada undang-undang sama seperti kita semua,” ujarnya ketika ditemui pada Majlis Perhimpunan Khas Aidilfitri Majlis Bandaraya Ipoh 2019 di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.

Turut hadir ialah Setiausaha Bandaraya, Mohd. Zakuan Zakaria.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung seorang ketua kampung yang ditahan kerana menjual mercun dan rokok seludup di kuarters kerajaan di Kampung Gajah, Seri Iskandar pada Isnin lalu.

Lelaki berusia 57 tahun itu ditahan polis di rumahnya dan kini disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

Dalam perkembangan lain, Asmuni memberitahu, siasatan ke atas beberapa pihak termasuk pengurusan masjid dan surau yang didakwa menganjurkan majlis berbaur politik di tempat ibadah itu sedang diteruskan.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut tetapi memberitahu siasatan sepenuhnya dilakukan oleh pihak Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah baru-baru ini menegur parti politik supaya tidak menyalahgunakan masjid dan surau untuk aktiviti berbentuk politik kepartian terutama sepanjang Ramadan. - UTUSAN ONLINE