Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan negeri, Nicole Tan Lee Koon berkata, sesuatu warisan dan budaya yang menjadi tradisi sejak sekian lama perlu disebar luas kepada masyarakat.

"Malaysia adalah sebuah negara majmuk yang mana setiap kaum mempunyai warisan dan budaya masing-masing.

"Kelebihan ini perlu dijadikan faktor penyatuan rakyat dan pada masa yang sama sebagai satu tarikan pelancong dari serata dunia," katanya ketika berucap pada majlis menutup

Bengkel Pembuatan Tanjak dan Tengkolok di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah bengkel itu, Datuk Nazri Kamal.

Nicole memberi contoh bagaimana ilmu pengetahuan dan kemahiran membuat tanjak dan tengkolok perlu disebar luas kepada masyarakat supaya warisan itu dapat dipertahankan secara berterusan.

"Jangan lupa asal usul warisan kita dan semua orang perlu menjaga budaya ini supaya ia terus kekal," ujarnya.

Bengkel selama dua hari itu yang berakhir hari ini disertai oleh seramai 169 orang termasuk dari Jepun, Singapura dan Indonesia.

Program yang julung kali diadakan itu dianjurkan oleh Persatuan Kebajikan Zuriat Keturunan Pusaka Bentan Malaysia dengan kerjasama Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Warisan Tanah Beradat Negeri Sembilan bersama Persatuan Peniaga Bazaar Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) Seremban.

Nazri yang juga Pengerusi Persatuan Bentan Malaysia memberitahu, program yang julung kali diadakan itu bertujuan memupuk minat dalam kalangan anak muda dan pelajar dalam membudayakan pemakaian tanjak dan tengkolok.

Beliau berkata, ia diharap dapat mendidik generasi muda menyayangi dan mengekalkan warisan budaya serta adat yang menjadi identiti negara ini. - UTUSAN ONLINE