Pertembungan serta perebutan kuasa dalam kalangan pemimpin PH dilihat menjadi antara penyebab kepada ketidakstabilan politik negara.

Perebutan kuasa diantara Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat semakin ketara apabila kedua-kedua pemimpin ini cuba untuk meluaskan hegemoni mereka.

Parti komponen lain seperti Bersatu, DAP serta Amanah juga tidak terlepas dari pelbagai masalah serta isu yang menjejaskan kredibiliti kerajaan PH.

Bermula daripada kelemahan dalam mentadbir negara, kelembapan ekonomi, skandal pemimpin sehinggalah kepada keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang tidak adil membuktikan kerajaan PH sebenarnya punca kepada kerosakan negara yang berlaku hari ini.

Kegagalan kerajaan PH menangani masalah dalam parti menyebabkan tugas utama iaitu menerajui negara dan menjaga kebajikan rakyat semakin terabai dan akhirnya rakyat yang menerima akibatnya.

Masalah domestik yang berpunca daripada perebutan kuasa dalam kalangan elit politik akan menjadi punca kepada ketidakstabilan politik negara.

Kesannya dapat dilihat pada hari ini apabila Malaysia yang dulu menjadi hab utama kepada pelabur asing kini semakin ketinggalan dalam kalangan negara Asia Tenggara.

Prestasi ekonomi dan survival negara juga amat membimbangkan apabila Jawatankuasa Pilihan Khas Bajet mengesahkan hutang dan liabiliti kerajaan Persekutuan pada akhir 2018 berjumlah RM1.1 trilion.

Kini, kestabilan politik dan masa depan negara menjadi persoalan utama yang amat membimbangkan rakyat Malaysia apabila negara ini ditadbir oleh kerajaan yang lemah dan tidak cekap.

Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris

Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

*Penafian: Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian Utusan.