Sehubungan itu, Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai menyeru semua pihak menyatakan komitmen menyeluruh bagi meningkatkan tahap kehidupan semua pekerja apatah lagi negara menuju ke arah era revolusi industri 4.0 (IR4.0).

Sempena sambutan Hari Pekerja esok, Dominic turut mahukan kerajaan Pakatan Harapan (PH) supaya memberi perhatian terhadap hak, kebajikan, keadaan kerja dan pembangunan pekerja dalam ekonomi globalisasi ketika ini.

“Konsensus yang dicapai untuk menaikkan gaji minimum, menangani masalah pengangguran dan gaji yang tidak berubah adalah usaha yang bagus tetapi kita perlu melihat kesemua cadangan direalisasikan dalam bentuk dasar dan pelaksanaan sebenar.

“Gerakan tetap memberi tumpuan kepada membina hubungan erat dengan kesatuan sekerja menerusi persefahaman ikhlas dan berterusan sejak sekian lama. Kami berbangga dan akan terus mencurahkan idea serta bersuara bagi memperkasa dan melindungi pekerja,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Dominic, esok juga merupakan hari yang menyelitkan peringatan penting kepada komitmen semua pihak untuk membawa perubahan positif kepada kira-kira 14.8 juta pekerja seluruh negara. - UTUSAN ONLINE