Timbalan Ketua Pengarahnya (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk T. Subromaniam berkata, antara kesalahan GST yang akan diwartakan di bawah AMLA adalah membuat penyata palsu, mengelak GST dengan menipu, memperoleh bayaran secara tidak wajar dan kesalahan berhubung invois dan resit.

Menurutnya, mana-mana pe­nia­ga yang didapati melakukan kesalahan GST yang telah disenaraikan sebagai kesalahan berat, boleh dituduh di bawah Subseksyen 4 (1) AMLA atas kesalahan pengubahan wang haram.

“Jika disabit kesalahan, boleh dipenjara tidak lebih 15 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi. Harta yang dihasilkan daripada aktiviti haram ini juga boleh dibekukan dan disita,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai ju­ta­wan kosmetik, Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman yang lebih po­pular dengan panggilan Dr. Vida dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh semalam atas 32 pertuduhan gagal membayar GST berjumlah lebih RM4.2 juta dan tidak mengemukakan penyata cukai ter­sebut sejak April 2015 sehingga Julai tahun ini.

Pengasas Vida Beauty Sdn. Bhd. itu menghadapi 16 pertuduhan, masing-masing mengikut Seksyen 41(7) Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 dan Seksyen 41(6) akta sama.

Mengulas lanjut, Subromaniam berkata, tindakan mewartakan kesalahan itu di bawah akta tersebut bertujuan untuk menggesa peniaga supaya menjelaskan GST dengan kadar segera.

“Sehingga hari ini, lebih 3,000 kertas siasatan telah dibuka membabitkan kesalahan yang dilakukan oleh peniaga di seluruh negara.

“Kita sedang menunggu ke­izinan daripada Timbalan Pendakwaraya untuk tindakan mah­ka­mah diambil. Bagaimanapun, peniaga yang terlibat masih mempunyai peluang untuk membayar cukai GST sehingga hujung tahun ini,” katanya.