Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, setiap bulan pihaknya menerima kira-kira 2,500 aduan pengguna dan sebanyak 26.2 peratus merupakan aduan penipuan perniagaan dalam talian.

“Biasanya di kedudukan teratas carta aduan pengguna ialah melibatkan kes kenaikan harga barang namun, pada bulan lalu situasi berubah dengan aduan mengenai penipuan perniagaan pula di atas.

“Oleh sebab itu, saya melihat perlindungan kepada pengguna untuk sebarang urusan dengan peniaga dalam talian perlu diberikan keutamaan ketika ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Terdahulu, Saifuddin Nasution melancarkan aplikasi MyPay iaitu perkhidmatan digital yang menawarkan kemudahan menyemak baki pinjaman, membuat bayaran pinjaman serta pelbagai kemudahan lain.

Menurut Saifuddin Nasution, sektor perniagaan dalam talian ketika ini semakin berkembang dan sekiranya masalah penipuan tidak dibendung ia akan menjejaskan hasrat kerajaan merancakkan bidang ekonomi digital.

“Bagi membendung masalah ini, kementerian telah meningkatkan penguatkuasaan selain turut memperkenalkan BizTrust bagi mendaftarkan setiap syarikat yang menjalankan perniagaan dalam talian.

“Sehingga kini, kira-kira 3,000 syarikat telah berdaftar dengan BizTrust. Kita sasarkan lebih banyak syarikat membuat pendaftaran kerana mereka akan mendapat pelbagai manfaat berguna,” katanya.

Selain itu katanya, secara dasarnya segmen perniagaan dalam talian menjanjikan keselesaan kepada peniaga dan juga pembeli namun, berlaku perlanggaran etika oleh peniaga sehingga menyebabkan pengguna membuat aduan.

“Ada pelbagai aduan yang diterima dalam sektor ini, antaranya pengguna mendapat barang berlainan daripada yang dibeli, barang rosak, tempahan tidak sampai dan lain-lain masalah lagi,” katanya.

Mengulas mengenai MyPay yang disediakan oleh Dapat Vista Sdn. Bhd., Saifuddin Nasution berkata, perkhidmatan itu merupakan inisiatif berguna dan bersesuaian kerana dapat memudahkan segala urusan pengguna.

“Kesenangan pengguna menjadi keutamaan dalam segala usaha yang kita lakukan di kementerian. Kita juga sentiasa komited untuk menjadikan perkhidmatan kerajaan semakin mudah untuk rakyat,” katanya.-UTUSAN ONLINE