Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin berkata, kementeriannya turut menubuhkan pasukan petugas khas di peringkat negeri yang dipengerusikan Exco Alam Sekitar supaya aktiviti penguatkuasaan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“Sehingga kini, Negeri Sembilan telah melaksanakan operasi dengan tegas. Daripada 33 kilang yang diperiksa sejak Ogos tahun lalu, sebanyak 13 daripadanya telah ditutup atau ditahan operasi.

“Hari ini, kita telah periksa tiga lagi kilang yang mana dua daripadanya adalah haram dan satu lagi diambil tindakan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya dalam sidang akhbar selepas operasi khas bersepadu anjuran kementeriannya di Senawang di sini hari ini.

Menurutnya, kerajaan telah membekukan permit import sisa plastik sejak Julai tahun lalu.

Bagaimanapun, jelasnya, ter­dapat kira-kira 750,000 metrik tan sisa plastik yang telah dibawa masuk secara besar-besaran ke negara ini sebelum itu.

“Sejak daripada itu, pihak berkuasa telah membuat operasi bagi membanteras kegiatan kitar semula sisa plastik haram yang membawa kesan buruk kepada alam sekitar,” ujarnya.

Bee Yin berkata, sebanyak 273 kilang kitar semula sisa plastik di seluruh negara telah diperiksa dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan sejak pertengahan tahun lalu.

Daripada jumlah itu, tambahnya, sebanyak 139 kilang dengan 108 daripadanya berstatus haram telah ditutup atau ditahan operasi.

“Sebanyak 48 kertas siasatan dibuka dan empat kes telah dituduh dan dijatuhkan hukuman di mahkamah dengan jumlah keseluruhan denda sebanyak RM398,000 serta hukuman penjara selama sehari,” katanya.

Bee Yin memberitahu, terdapat 44 kes akan di awa ke mahkamah dengan jangkaan jumlah denda sehingga RM3 juta.