Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, langkah itu bertujuan mencapai sasaran nilai perniagaan kira-kira RM50 bilion menjelang 2020.

“Setakat ini kita sudah mencapai nilai perniagaan sebanyak RM41 bilion dan sasaran kita masih jauh hingga ke tahap RM50 bilion.

“Kita tidak boleh mengharapkan bidang sedia ada dan kewangan. Maka kita perlu berkembang dalam bidang pendigitalan dengan Koponas,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Koponas, di sini baru-baru ini.

Yang hadir sama ialah Pengerusi Koponas, Mohamad Azham Abd. Jabar dan Setiausaha Koponas, Anwar Kamirun.

Abdul Fattah menambah, kerjasama dengan Koponas yang mempunyai kepakaran dalam teknologi pendigitalan rekod dan data pastinya mampu memacu Angkasa selangkah ke hadapan sebagai peneraju koperasi di negara ini.

Menurutnya, perkongsian pintar antara kedua-dua pihak diharapkan dapat memperluas jaringan perniagaan melalui aktiviti operasi dan perkhidmatan.

“Saya berharap dengan kerjasama ini, Koponas akan bekerjasama dengan koperasi-koperasi lain di negara ini bagi memanfaatkan teknologi yang mereka miliki.

“Saya sarankan semua koperasi meneroka bidang digital sebagai sumber perniagaan kerana pada masa depan, bidang tersebut mampu menjana pendapatan yang baik,” katanya. - UTUSAN ONLINE