Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Md. Farid Md. Rafik memberitahu, penyaluran dana berkenaan adalah untuk membangunkan prototaip bagi projek kereta nasional ketiga.

Jelas beliau, jumlah RM8 juta itu merupakan sebahagian daripada dana siling sebanyak RM20 juta yang telah diperuntukkan kerajaan susulan mesyuarat Majlis Pembangunan Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad 28 November tahun lalu.

“Bagi memanfaatkan Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0), aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk projek kereta nasional baharu juga amat penting bagi meningkatkan kualiti produk, memenuhi citarasa pengguna, memendekkan tempoh pembangunan kenderaan baharu dan menjimatkan kos pembangunan.

“Hasil R&D secara tidak langsung dapat merangsang pertumbuhan ekonomi negara di samping memberi manfaat kepada industri, ahli akademik, kerajaan dan paling penting masyarakat. Selaras dengan hasrat ini, kerajaan memperuntukkan dana bagi pembangunan prototaip kereta nasional baharu,” katanya dalam jawapan bertulis yang diedarkan di Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai jawapan kepada Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) yang meminta kerajaan menyatakan jumlah peruntukan serta geran yang telah disalurkan bagi R&D berkaitan projek kereta nasional ketiga.

Khairy turut berkongsi jawapan berkenaan dalam laman Twitter miliknya.

Januari lalu, Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof mengumumkan peruntukan sehingga RM20 juta bagi membangunkan prototaip projek kereta nasional ketiga yang sebahagian besarnya adalah daripada pelaburan vendor.

Sebelum itu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengulangi pendirian bahawa kerajaan tidak berhasrat melabur dalam projek berkenaan berikutan faktor pelaburan yang terlalu tinggi di samping memerlukan pembabitan pelaburan swasta.

Namun begitu, Guan Eng memberitahu kerajaan tidak mempunyai masalah untuk menyalurkan peruntukan bagi menjalankan R&D. - UTUSAN ONLINE