DR. ALIAS RAZAK
ALIAS

Perkara itu dinyatakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Jelasnya, penangguhan itu susulan rayuan para peniaga agar kerajaan negeri dan pihak Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) memberi sedikit masa untuk mereka berniaga di premis lama.

"Sebagai sebuah kerajaan yang prihatin dengan kebajikan rakyat, kita bersetuju menangguhkan pemindahan peniaga dari April ke Jun depan.

“Peniaga boleh mula berpindah ke premis sementara, Pasar Payang 2 selepas Hari Raya Aidilfitri dan tempoh panjang itu dijangka cukup untuk mereka memindahkan barang peniagaan dan sebagainya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam ruangan Rintihan Rakyat yang disiarkan akhbar Utusan Malaysia hari ini, kira-kira 1,000 peniaga Pasar Besar Kedai Payang merayu diberikan sedikit masa untuk berniaga di tempat lama bagi sekurang-kurangnya mendapatkan rezeki lebih semasa cuti musim perayaan itu nanti.

Keluhan para peniaga itu disuarakan oleh wakil mereka, Zakaria Yusof, 55, yang merupakan Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Cawangan Kuala Terengganu. - UTUSAN ONLINE