Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, pihaknya akan berjumpa dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna minggu depan bagi melihat langkah yang boleh diambil bagi menangani isu itu.

Menurut Guan Eng, beliau menerima aduan daripada beberapa syarikat pemaju mengenai kenaikan mendadak harga simen itu yang bimbang akan memberi kesan buruk khususnya kepada sektor pembinaan.

Tambah beliau, kebimbangan itu juga berasas memandangkan tidak ada sebab munasabah bagi kenaikan harga simen tersebut berikutan pengukuhan ringgit ketika ini selain penghasilan simen berkenaan juga menggunakan sumber tempatan.

“Kerajaan mengambil berat mengenai aduan ini kerana kenaikan harga simen ini akan memberi kesan sampingan dan berantai dan menjejaskan banyak sektor pembinaan seperti perumahan, jalan raya, kilang dan sebagainya,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai aduan kenaikan harga simen oleh syarikat pemaju hartanah antara 40 hingga 50 peratus seperti disahkan menerusi surat daripada pembekal bermula semalam dan 1 Julai ini.

Dalam pada itu, Guan Eng berkata, kerajaan juga akan meneliti sama ada kenaikan mendadak harga simen itu adalah disebabkan faktor monopoli memandangkan ketika ini 85 peratus pengeluarannya dikuasai sebuah syarikat swasta.

“Kira perlu lihat apakah wujud impak dari kuasa monopoli selepas syarikat yang besar menguasai 85 peratus bekalan simen ini.

“Sekiranya ini membolehkan satu atau dua syarikat untung besar tetapi memudaratkan industri dan ekonomi, jadi perkara ini perlu diambil berat dan serius oleh kerajaan,” katanya.- UTUSAN ONLINE