Perdana Menteri berkata, biarpun jumlah bantuan yang disalurkan mungkin tidak mencukupi tetapi ia sedikit sebanyak meringankan beban mereka untuk membaiki rumah masing-masing.

Menurut beliau, bantuan seumpama itu tidak berlaku di negara-negara lain yang ditimpa malapetaka lebih dahsyat seperti gempa bumi dan taufan.

“Walaupun bantuan ini tidak cukup, kita harus bersyukur kerana kerajaan masih membantu, tidak seperti di negara tertentu yang mangsa bencana tidak mendapat apa-apa bantuan.

"Disebabkan itu, rakyat perlu berasa terhutang budi kepada kerajaan dan tidak menafikan bantuan yang diterima mereka," katanya ketika berucap pada Majlis Korban di Masjid Ar Rahman, Kedawang di sini, hari ini.

Jumaat lalu, lapan negeri dibadai tiupan angin akibat terkena tempias Taufan Lekima sehingga menyebabkan lebih 3,000 rumah mengalami kerosakan termasuk di Pulau Langkawi.

Terdahulu, Dr. Mahathir bersama isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamed Ali meluangkan masa melawat kawasan dilanda ribut di Jalan Teluk Baru, di sini.

Tambah beliau, rakyat Malaysia juga bernasib baik kerana kedudukan negara yang terletak antara Indonesia dan Filipina menyebabkannya terlindung dari angin kencang Lautan Hindi dan tiupan taufan dari Lautan Pasifik.

Katanya, pada masa sama, Malaysia juga tidak mempunyai gunung berapi dan kejadian gempa bumi yang boleh menyebabkan kerosakan lebih teruk seperti yang berlaku di negara lain. -UTUSAN ONLINE