Presiden Suara Kelantan, Che Isham Shahrudin Che Hamad Nordin berkata, pihaknya terkejut mengetahui perkara tersebut dan menyifatkan ia sebagai satu kehilangan besar buat negara jika menjadi kenyataan.

Hal ini kerana kata beliau, Utusan Melayu merupakan syarikat akhbar yang pernah menjadi wadah perjuangan menuntut kemerdekaan negara satu ketika dulu.

"Saya amat tersentuh dan bersimpati dengan apa yang menimpa warga kerja Kumpulan Utusan ketika ini. Nasib akhbar Utusan Malaysia yang bersejarah itu berubah sekelip mata sejurus sahaja Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14)

"Sudah pasti warga kerja kumpulan Utusan tidak pernah menyangka tentang apa yang sedang mereka alami ketika ini. Mana mungkin 'lidah rasmi' Kerajaan Barisan Nasional (BN) sejak sekian lama tersungkur dan nazak sebegini," katanya.

Menurutnya, Utusan Malaysia mungkin dilabel sebagai suara UMNO namun tidak salah Kerajaan PH tampil menjadi penyelamat kepada akhbar yang pernah menjadi wadah perjuangan kemerdekaaan negara.

Katanya, 'halusinasi' itu perlu diubah kepada mencari solusi bagi menyelamatkan syarikat dan membantu warga kerjanya.

"Suka saya bertanya pada khalayak, apa dosa Utusan dan apa salah Utusan? Jika kita melabel Utusan itu UMNO bagaimana jika kita ubah dan jadikan mereka sebagai 'lidah rasmi' Kerajaan PH pula.

"Ini soal periuk nasi rakyat Malaysia juga di samping nilai estetika sebuah entiti yang membangun bersama negara dan mencoret pelbagai peristiwa bersejarah.

"Saya tidak ingin menyentuh soal pemilik Utusan ketika ini, namun tertarik untuk bertanya kepada penguasa negara (Kerajaan PH) apa yang boleh dilakukan untuk membantu. Tidakkah Malaysia Baharu nampak laba keuntungan jika PH membantu Utusan. Saya rasa pemimpin Malaysia Baharu lebih arif soal ini," ujarnya. - UTUSAN ONLINE